PRESS RELEASE: SINAR HARIAN ONLINE

Cambridge Biotek sedia tembus pasaran global

NOOR AINULYAKIN ISHAK
2 MEI 2017

Dr Nabisar sendiri antara yang menjalankan R&D pada setiap produk yang dihasilkan.

CAMBRIDGE Biotek Sdn Bhd (Cambridge Biotek), pemilik jenama Dr Nabisar, berazam menembusi pasaran global sebagai syarikat bioteknologi tempatan pertama diyakini negara luar terutama dalam bidang Biofarma.

Pengasasnya, Dr Nabisar Mustan berkata, kerajaan perlu menyokong usaha syarikat bioteknologi seperti mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan ke luar negara.

“Kami antara syarikat bioteknologi tempatan yang sudah menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) ekstrak tumbuhan dan buah-buahan tempatan yang terbukti ada banyak khasiat.

“Sebelum ini, masyarakat hanya didedahkan kebaikan tumbuhan tempatan melalui perubatan tradisional, tetapi kami mengkajinya secara saintifik.

“Atas kajian yang dilakukan, kami dapati banyak khasiat tumbuhan boleh digunakan bagi tujuan rawatan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, untuk mengembangkan lagi syarikat, Cambridge Biotek yang dijadual disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang 2020, menyasarkan mengumpul kira-kira RM200 juta sebagai perbelanjaan modal (Capex).

“Ia sebagai usaha kami mengembangkan perniagaan ke skala lebih besar yang mana segala persiapan disenaraikan telah dilakukan sejak tiga tahun lalu.

“Kami buat pelbagai usaha berkaitan, termasuk pengasihan produk termasuk menggunakan dana sendiri untuk jalankan R&D sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, kewujudan syarikat bioteknologi tempatan sepertinya membantu rakyat untuk tidak terlalu bergantung dengan ubat-ubatan berasaskan kimia.

“Semakin banyak kini, produk yang menggunakan sepenuhnya ekstrak tumbuh-tumbuhan tempatan terbukti mendatangkan khasiat kepada sesuatu penyakit.

“Oleh itu, sejak ditubuhkan, Cambridge Biotek tawarkan kontrak pengilangan (OEM) untuk menghasilkan produk pelbagai jenama di luar sana antaranya produk kecantikan dan kesihatan yang selamat dan halal,” katanya.

Tambah Dr Nabisar, tahun ini syarikat menyasarkan pendapatan tahunan sehingga RM5 juta.