Setelah meningkat dewasa, anak-anak akan bertemu dengan pasangan mereka dan bercinta, kemudian mereka akan mendirikan rumah tangga dan membina satu keluarga kecil bersama cahaya mata baru yang akan menyerikan lagi kehidupan mereka….Apa yang akan berlaku pada orang tua mereka apabila sudah menjejaki usia warga emas? Siapa yang akan menjaga mereka?
Ibu bapa sudah pun memberi kasih sayang secukupnya, memberi pendidikan dan keperluan yang anak-anak mahukan, mereka sanggup bekerja lebih masa asalkan anak-anak bahagia, dapat merasa semua kemudahan seperti rakan mereka, tetapi adakah apabila mereka sudah memiliki keluarga sendiri mereka akan mengingati orang tuanya? Menjaga seikhlas hati? Kita sangat-sangat berharap anak-anak akan menjaga kita sewaktu kita hidup bersendirian atau ketika sakit. Betulkah harapan ini? Adakah ia akan menjadi nyata? Atau ‘Kami sayang ibu’ itu hanya sekadar sebutan untuk menenangkan hati kita?
Anak-anak di muka bumi ini hanya separuh bilangan sahaja yang sanggup menjaga orang tua mereka. Ada yang sanggup berhenti kerja untuk berbakti kepada orang tua mereka. Hal ini saya sangat kagum! Tetapi ada pula segelintir individu berkata ‘saya menjaganya sebab saya anggap ini adalah tiket untuk saya ke jannah’. Adakah mereka ini ikhlas? Atau terpaksa? Ya, menjaga orang tua ini tidak mudah! Tambah-tambah lagi jika mereka nyanyuk atau ada penyakit lain yang membuatkan mereka berkelakuan seperti anak kecil. Tetapi tanpa mereka siapalah kita….Dalam adik beradik siapa yang selalu menjaga orang tua mereka? Saya perhatikan kebanyakannya adalah anak perempuan bongsu. Mereka menjaga orang tua mereka kerana abang atau kakaknya telah pun memiliki keluarga lain dan ada yang jauh merantau. Anak bongsu ini rela berkorban masa depan mereka dan tidak dapat bergembira seperti orang lain kerana selepas bekerja mereka bergegas pulang untuk menguruskan orang tuanya. Saudara mara memang mudah memberi pujian tapi fahamkah isi hati mereka yang menanggung semuanya? Mereka ini mengalami dilema untuk berbahagia seperti orang lain..Adilkah untuk dia?
Separuh lagi bilangan anak-anak ini sanggup membiarkan orang tua mereka tinggal sebatang kara di kampung. Ada yang sanggup meninggalkan orang tua mereka di pusat jagaan orang-orang tua kerana tidak mahu membebankan jiran-jiran atau pun penduduk berdekatan untuk sentiasa memantau mereka. Ya, ibu bapa boleh jaga 10 orang anak, tetapi anak yang ramai belum pasti boleh jaga kita di masa tua….Janganlah mengharapkan kerajaan sahaja, untuk menjaga orang tua kamu sendiri. Kamu tidak tahu keadaan sebenar di rumah orang-orang tua, keadaan tempat tidur mereka dan gaya hidup mereka yang tidak bersosial, mereka sendiri yang akan mati kerana jiwa mereka kosong, sentiasa merindukan saat bersama anak-anak.
Bagi warga emas yang memiliki simpanan hakikatnya mampu mengelakkan diri mereka untuk berlakunya perkara yang tidak diingini. Dengan duit simpanan tersebut, warga tua ini boleh mendapatkan rawatan jururawat di rumah. Berbeza pula bagi keluarga yang berada. Anak-anak kebanyakannya tinggal bersama orang tua mereka. Keadaan berbeza kerana mereka masih bergantung kepada orang tuanya. Kebanyakan mereka bekerja sesama dengan ahli keluarga sendiri. Ada juga yang tinggal bersama kerana menanti untuk mewarisi harta dan kebendaan.
Leave a reply