Saya masih ingat lagi, semasa kecil saya pernah terkena jangkitan kutu akibat berjangkit dengan sepupu. Masa tu, jenuh mak saya nak sikatkan rambut saya setiap hari. Sikat kutu yang bersisir rapat tu memang selalu saya gunakan. Gatalnya kulit kepalaa… memang tak terkata! Bila sikat je, jatuh segala mak bapak anak kutu. Gerun!

Mak saya apalagi, terus dia jalankan kempen membasmi kutu!

Pernah juga masa mak tengah sikat rambut saya, kepala saya tiba-tiba berdarah. Panik kami! Bila mak check balik rambut saya, ada dua ekor kutu mati, bila mak tekan kutu itu menggunakan kuku. Kulit kepala saya pula, naik merah-merah disebabkan sisir sikat.

Sungguh! Saya tak mahu lalui pengalaman itu lagi!

Mesti kita tertanya-tanya. Macam mana kutu boleh berjangkit ya? Jangkitan kutu boleh berlaku apabila rambut yang dijangkiti menyentuh rambut mangsa baru. Contohnya, jika kita tidur berkongsi satu bantal dengan mereka yang dijangkiti kutu. Jadi, potensi untuk kita terkena jangkitan kutu adalah tinggi. Selain itu, mungkin jangkitan boleh berlaku apabila kita menggunakan anak tudung, sikat, atau berus rambut mereka yang dijangkiti kutu.

Oleh itu, kita perlulah menitikberatkan penjagaan rambut. Jangan sesekali dengan mudah atau sambil lewa berkongsi sikat atau anak tudung kepada mereka yang disyaki dijangkiti kutu. Sentiasalah berwaspada dan beringat, kerana rambut itu mahkota bagi setiap wanita.

Sincerely,

Dr. Nabisar.