Baru-baru ini kecoh diperkatakan di media sosial tentang kes seorang remaja autisme yang ditahan oleh pihak berkuasa atas kesalahan meraba dada seorang gadis. Video remaja autisme tersebut berjalan keluar dari mahkamah sambil tangannya digari, mendapat perhatian netizen. Pelbagai reaksi telah diberikan oleh netizen. Ada yang memberikan reaksi simpati kepada pelaku, mahupun kecaman kepada mangsa. Kes ini berlaku apabila keluarga remaja autisme terbabit membawanya ke sebuah restoran untuk meraikan hari lahirnya yang ke-22. Namun tanpa disedari oleh keluarganya, remaja autisme terbabit bertindak memegang dada seorang gadis, dan menyebabkannya ditahan oleh pihak berkuasa pada keesokan harinya atas dakwaan mencabul.

Pada pandangan saya, kesedaran masyarakat terhadap golongan autisme haruslah diperluas supaya mereka mengetahui akan kondisi golongan autisme. Masyarakat perlu memahami bahawa autisme sebagai sejenis gangguan ketidakseimbangan saraf yang mengganggu perkembangan tingkah laku dan pembelajaran mereka. Apabila kesedaran masyarakat terhadap golongan autisme ini wujud, saya pasti masyarakat boleh memahami dan menerima mereka dalam kehidupan. Saya pasti, kekeliruan dan salah tanggap masyarakat terhadap autisme dapat dielakkan.

Sebagai ibu bapa pula, pastinya sifat menjaga dan mempertahankan anak-anak akan wujud. Kita cenderung untuk membela anak kita demi menjaga kehormatannya, lebih-lebih lagi anak perempuan. Maka apabila kes ini terjadi, saya memahami akan perasaan yang dialami oleh kedua-dua orang tua mangsa dan tertuduh. Masing-masing inginkan yang terbaik buat anak-anak. Namun, saya berpendapat bahawa mencari kedamaian dan persefahaman adalah yang terbaik buat kedua-dua pihak.

Semoga mangsa dan adik Ziqri dapat keadilan yang sewajarnya.