Kau ingat kau hebat? Poyo!
Dengki, penyakit hati yang paling berbahaya dalam diri manusia. Dengki bermaksud tidak suka dan marah kerana cemburu dan iri hati.

Dengki ada 3 jenis iaitu individu yang menginginkan nikmat yang diperolehi orang lain itu hilang atau berpindah kepadanya, individu yang tidak suka orang lain menyerupai dirinya atau lebih daripadanya dan individu yang sentiasa iri hati sehingga menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada keburukan.

Apa faktor yang mewujudkan penyakit hati ini? Ia boleh terselit dalam diri seseorang jika ada perasaan bermusuhan dan kebencian. Individu yang terlalu merasa diri mereka mulia dan baik juga boleh menimbulkan penyakit ini. Begitu juga jika individu memiliki perasaan sombong dan berlagak sehingga dia menyangkakan dirinya lebih sempurna. Punca lain ialah disebabkan mereka ini sangat ghairah untuk menjadi ketua atau lebih mencari populariti.

Bolehkah kita melawan penyakit hati busuk ini? Boleh jika kita sentiasa berfikiran positif dan menjadikan kejayaan orang lain sebagai contoh untuk kita berjaya bersama. Sentiasa dekatkan diri dengan Tuhan. Bergembiralah atas kejayaan orang lain. Ingatlah untuk selalu merendah diri dan tidak menunduk dan menghambakan diri kepada keduniaan dan kebendaan. Sememangnya manusia tidak sempurna selain Pencipta Yang Esa, jangan malu untuk mengadu padaNya. Tukarkan sifat dengki kepada perasaan gembira atas kejayaan orang yang kita kenali.