Mulut dia busuk? Badan dia berbau? Nak pengsan aku berhadapan dengan orang macam ni! Pernah tak anda mempunyai rakan atau seseorang yang anda terpaksa jauhkan diri sebab tak tahan dengan bau yang ada pada dirinya? Mungkin tiada orang tegur sebab mereka sendiri tidak sedar diri mereka mengeluarkan bau yang tidak senang.

Apa yang menyebabkan mulut dan nafas berbau? Dari mana dia datang? Ia sebenarnya disebabkan bakteria yang ada dalam mulut. Bakteria dalam mulut ada di lidah, gusi, gigi atau lelangit. Kawasan yang paling banyak bakteria ialah di bahagian lidah kerana ia sangat lembab dan menggerutu sesuai untuk pembiakan bakteria. Penyakit gigi dan gusi juga menjadi punca mulut berbau. Contohnya, gigi berlubang, goyang, sensitif atau karang gigi dan gusi yang membengkak, bernanah atau berdarah. Pengambilan minuman berkafein dan beralkohol juga menjadi di antara nafas berbau. Tidak lupa juga ya terhadap amalan pemakanan kita. Jika anda selalu makan petai, jering atau durian, memang mudahlah anda mendapat masalah mulut berbau ini….Bagi individu yang ada masalah pencernaan makanan juga boleh mendapat masalah ini di mana individu tersebut mengalami refluks yang berasidik. Macam mana nak elakkan mulut dan nafas berbau? Selalulah berus lidah semasa memberus gigi dan rajinkan berkumur selepas makan.

Macam mana pula dengan badan? Macam mana boleh berbau? Badan berbau disebabkan kelenjar apocrine berpeluh yang terdapat di bawah lengan dan bahagian lain yang berbulu. Ia akan mengeluarkan bau yang teruk jika banyak bakteria membiak. Semburkan body spray dan pakai deodoran untuk hilangkan masalah ini. Untuk wanita bahagian kemaluan mudah mengeluarkan bau yang tidak enak. Selepas membersihkan alat sulit pastikan anda lap menggunakan tisu atau kain bersih. Ini untuk memastikan pakaian dalam sentiasa kering dan tidak lembab kerana kemaluan mudah dijangkiti bakteria. Begitu juga dengan rambut. Bagi individu yang memakai tudung ada sesetengah individu yang suka memakai anak tudung berulang kali, lalu membuatkannya menjadi kepam dan berbau. Amalkan pemakaian spray rambut untuk bertudung supaya sentiasa berbau segar.

Imej dan penampilan amat penting untuk setiap individu dan memberi kesan dalam aktiviti sosial. Jika imej kita terjaga sudah tentu orang di sekeliling akan berasa lebih selesa untuk berkomunikasi dengan kita.