Bila kita bercakap tentang perogol, kaum perempuan malu hendak membualkan topik ini. Tetapi, mengapa perogol yang patut dikenakan hukuman boleh terlepas begitu saja? Mengapa mangsa rogol merasa takut untuk membela diri? Takut pesalah itu akan berdendam atau takut dengan ugutan mereka?

Apa antara sifat-sifat perogol? Saya terfikir bahawa kes rogol ini tiada had umur, perogol boleh datang dari semua golongan masyarakat tidak kira muda mahupun tua. Imej si perogol juga tidak dapat diduga. Selalunya mereka berpewatakan menarik. Adakah mereka mesra atau pendiam? Mereka selalunya dalam golongan bagaimana? Kerana boleh dikatakan kemungkinan perogol ini adalah dalam keluarga kita sendiri, jiran atau pun kawan sendiri dan mungkin orang asing yang tidak dikenali.

Kepada siapa mereka sasarkan untuk melepaskan nafsu binatang mereka? Perempuan atau lelaki? Kanak-kanak, remaja atau dewasa? Pelajar atau yang telah bekerja? Banyak motif mereka yang tidak dapat diteka. Ianya mungkin atas sebab buli, dendam, nafsu atau pun pengaruh rakan sebaya. Kaum lelaki juga sekarang boleh menjadi mangsa perogol. Ini memang tidak mustahil dan kejadian ini terjadi juga di Malaysia! Kes rogol ini juga ada yang melibatkan ustaz yang sepatutnya penuh ilmu di dada dan mendidik pelajar tetapi boleh terpesong menjadi seorang perogol. Mana pergi imannya? Masyarakat selalu menyalahkan mangsa rogol dengan aspek pemakaian mangsa yang seksi dan mangsa memang suka bersosial. Tetapi sebelum seseorang itu merogol tidakkah terfikir emosi dan nafsu sendiri? Kenapa tidak boleh kawal diri? Kenapa perlu merosakkan masa depan orang lain? Kenapa perlu menyakiti orang lain. Pengalaman perit ini akan megaburi pandangan mangsa perogol dalam membahterai kehidupan ini.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mereka supaya belajar mengawal diri sendiri, fikir akan kesan yang menimpa diri sendiri dan maruah keluarga. Didiklah anak-anak kita untuk menerapkan ilmu agama dan sivil dalam diri…Apa gunanya pandai menghafaz Al-Quran 30 juzuk tetapi tidak dapat mengawal nafsu dan emosi? Sentiasa memantau kemudahan teknologi di rumah seperti TV, komputer dan telefon bimbit anak-anak agar tiada sebarang unsur kandungan seks lucah dalam penggunaan harian mereka. Tidak lupa juga untuk sentiasa pantau bilik mereka supaya tidak adanya bahan-bahan lucah berupa majalah atau foto. Di sekolah juga, pendidikan seks harus diwujudkan di sekolah. Apa yang saya maksudkan di sini adalah pendidikan tentang penerimaan arahan, cara sentuhan dan cara percakapan seseorang apabila kanak-kanak disapa atau disentuh seseorang. Perlu ada cara untuk mendidik kanak-kanak supaya berani bertanya kenapa perlu membuat arahan orang tersebut jika orang itu sebenarnya ingin mengambil kesempatan ke atasnya.

Kerajaan juga perlu mewujudkan sistem senarai pesalah laku seks seperti di luar negara supaya individu boleh mengambil langkah berjaga-jaga jika ada kaitan dengan bekas pesalah laku seks ini. Dan supaya si perogol takut untuk melakukan aktiviti terkutuk itu lagi!