Apa? Bernikah lagi? Saya tak akan izinkan sama sekali! Kalau abang nak juga, tak apa, lepaskan saya sahaja….Beginilah antara kata-kata seorang isteri yang akan diluahkan sekiranya suami berhasrat untuk berpoligami. Dalam Islam, kita memang sebagai isteri perlu terima dan redha…tetapi adakah kaum suami sedar apa yang dimaksudkan dengan berpoligami dan berapa banyak tanggungjawab yang patut sisuami memikul?

Jangan fikirkan nafsu semata! Adakah anda cukup wang untuk diberikan kepada isteri-isteri dan anak-anak anda? Dengan ekonomi negara sebegini, adakah kewangan anda stabil dan anda mampu berkelakuan adil? Semua ini perlu diambil kira. Jangan fikirkan adil dalam kewangan sahaja, anda juga perlu adil dalam mendidik isteri-isteri dan anak-anak dengan ilmu keagamaan dan duniawi. Cukupkah ilmu di dada untuk memimpin isteri-isteri anda? Mengumpul amal ibadat bersama untuk di bawa bekalan ke akhirat? Tepuk dada tanya selera….Tidak ketinggalan juga, anda kena adil kepada isteri-isteri anda, beri kasih sayang yang sama rata dan jaga hati mereka.

Apa pula yang terjadi kepada anak-anak jika mereka tahu anda mahu bernikah lagi? Kerana kebanyakan  suami yang berpoligami akan fokus kepada keluarga baru, maka anak-anak akan berdendam dan memberontak. Ini juga akan membabitkan emosi si isteri yang akan menjadi kurang stabil yang mungkin akan mempengaruhi cara mereka melayan anak-anak. Kalau iman tak kuat, mungkin anak akan menjadi mangsa. Kes begini banyak terjadi di negara kita.

Kita juga kadang kala tidak boleh mencemuh dengan suami yang berpoligami ini. Kemungkinan mereka memang berniat untuk membantu si perempuan yang datangnya dari keluarga susah…Tetapi pernahkah suami terfikir, mengapa perlu menggunakan alasan untuk menolong atau mendidik perempuan tersebut dengan bernikah? Kenapa tidak boleh menolong sebagai seorang kawan atau jika berniat untuk mendidik, suami hanya menjadi seorang guru kepada perempuan tersebut? Ada kalanya si isteri terpaksa memberi keizinan atas sebab tidak dapat memberikan zuriat untuk menjadi waris keluarga mereka. Tetapi, adakah suami terfikirkan hati isteri? Perasaannya apabila kasih berbelah bagi. Mengapa tidak boleh mengambil anak angkat? Mungkin dengan menjaga anak angkat pasangan ini dikurniakan rezeki menimang cahaya mata sendiri. Dan kehadiran orang ketiga yang memang berniat untuk merampas si suami memang ada. Adakah iman suami begitu lemah sehingga mudah terpedaya dengan kasih sementara orang ketiga ini? Percaya bahawa dia lebih membahagiakan anda? Bagi yang akan atau telah melaksanakan poligami ini, suami hendaklah ilmu di dada itu serba penuh supaya perkahwinan tersebut mencapai objektif dalam Islam…